Bagaikan Matahari

Saturday, 27 September 2014

SETIA #6 (27/9/2014)

(6)

             Rasanya inilah pertama kali aku melangkah masuk ke dalam kafe siber. Itupun sebab aku bukan lagi pelajar sekolah menengah. Sebelum ini apa-apa urusan yang melibatkan penggunaan internet aku akan gunakan PC di makmal komputer ataupun aku pinjam laptop milik Cik Farah. Sebelum aku ke CC aku ada juga minta tolong pada Auntie Julie tapi dia tiada di rumah. Katanya dia sedang berada di Terengganu bersama Adibah dan beberapa orang lagi. Kenapalah aku sering menyebut nama Adibah? Pelik. Aku ke CC pun bukan sebab mahu main game, tapi aku mahu periksa permohonan UPU aku. Suasana di CC sangat menyedihkan dan menjelikkan. Bau tengik asap rokok mula mengganggu pernafasan aku. Bunyi teriakan para remaja yang telah berjaya menawan Frozen Throne membingitkan telinga aku. Aku tak faham. Perlu ke bergembira atas kemenangan grafik yang bergerak? Aku tersenyum senget. Pada aku, aku nak bentuk masa hadapan aku. Buang masa saja melayan grafik berwarna sedangkan aku boleh menggunakan masa itu untuk melakar strategi masa hadapan aku.

            “Laa. Sini kau rupanya. Penat aku cari kau,” tiba-tiba Safwan menyapa.
            “Aku cuaklah Safwan. Macam mana kalau aku dapat jauh-jauh? Siapa nak jaga mak aku?”
            “Kau jangan risau. Adatlah tu beb. Cepatlah masukkan nombor IC kau tu”

            Baru aku sedar yang aku sudah lama menatap dan terpana pada skrin komputer itu. Ruangan untuk aku menaip nombor IC masih tidak dipenuhi lagi. Itulah masalah aku sebenarnya. Akademik aku cemerlang tapi aku tak ada self confidence dalam diri aku. Senang saja aku berasa risau sebelum aku buat sesuatu benda. Macam SPM hari itulah. Payah untuk aku yakin yang aku akan cemerlang. Nasiblah ada Safwan yang selalu bagi semangat pada aku.

            Akhirnya ruangan itu dipenuhkan. Perlahan-lahan aku menekan pada ikon ‘masuk’. Titisan peluh tampak kelihatan pada dahiku. Jantungku agak kencang. Ada hikmahnya juga internet CC itu lembab. Sekurang-kurangnya dapat beri aku masa untuk menenangkan diri. Tiba-tiba lagu Alice oleh Avril Lavigne bermain di kepala. Satu per satu liriknya aku cuba fahami. Tak kisah apa yang terjadi selepas ini, aku kena hadapinya dengan tabah. Get ready Hilman, you are going to throw yourself into a wonderland. “Sudah-sudahlah kau menyanyi lagu Avril tu. Page UPU dah habis loadinglah ngok!” jerkah Safwan. Terkejut aku. Aku memandang terus ke skrin komputer.

            Aku terkedu. Rasa bersyukur pun ada, rasa risau pun ada. Perasaan bercampur baur.

            Aku ditawarkan untuk sambung belajar dalam bidang Diploma Perguruan Sukan dan Rekreasi di Universiti Kebangsaan Malaysia. Alamak. Jadi guru! Aku menepuk dahiku yang leper ini. Habislah aku kena hadam dengan PBS! Dahlah isu itu yang paling hangat dalam dunia pendidikan! Mana taknya? Setiap kali aku masuk bilik guru, mesti dia orang akan cakap pasal isu ini. Sama ada dia orang sokong ataupun tak, itu bukan urusan aku pada waktu itu. Tapi sekarang aku pula yang terjerumus dalam bidang ini. Bukan aku tak sedar. Kadang-kadang cikgu aku tak masuk kelas sebab mahu siapkan laporan PBS dia orang. Mampuslah aku nanti. Eh kejap, alhamdulillah dapat sambung belajar (serius kata, orang macam aku patut dihempuk sampai pitam sebab tak reti nak bersyukur. Kalau kau jumpa aku, kau pukul saja. Aku benarkan).

            “Wuu, jadi cikgulah kau nanti,” ujar Safwan mengejek.
            “Diamlah sial! Kau tak tau keperitan aku nanti,” aku balas.
            “Haha. Kau panggil je aku nanti. Aku pasti datang tolong kau”
            “Yalah sangat”

            Aku keluar dari CC dan pergi ke kedai runcit. Bukan nak beli barang tapi di sebelah kedai runcit tersebut ada telefon awam. Aku nak beritahu kepada Auntie Julie yang akhirnya aku berpeluang masuk ke UKM. Mesti dia suka. Pertama sebab itu harapan dia. Kedua sebab dekat dengan rumah aku. Tak adalah jauh sangat. Bolehlah aku balik menjenguk mak aku nanti. Nombornya aku dail. Aku ingat nombor dia sampai ke hari ini. Aku hafal nombor dia dan nombor arwah Dr. Islam. Dah lama aku tak dail nombor arwah. Terasa rindu pula. Agaknya siapa pula yang guna nombor arwah?

            “Assalamualaikum?” ada suara yang menyapa aku. Eh, ini bukan suara Auntie Julie. Suaranya agak lembut berbanding dengan Auntie Julie.
            “Waalaikumussalam,” aku terdengar gadis itu menarik nafas dengan panjang. Mungkin dia tersentak sebab dia tahu yang dia sedang bercakap dengan seorang lelaki. “Boleh tak kalau saya nak cakap dengan ummi, (aku tersasul sebab aku asyik fikirkan tentang arwah Dr. Islam) err... Auntie Julie?”
            “Dia tak adalah. Dia pergi keluar kejap tapi dia terlupa nak bawa fon. Ni siapa ye? Hilman ek?” kata gadis itu.
            “A’ah. Dia pergi mana?”
            “Pergi beli makanan untuk anak usrah dia. Kau nak apa Hilman?”
            “Saya, err... Hilman... Aku nak bagitau dia something. Kau ni siapa pulak?”
            “Adibah”

            Pergh! Adibah rupanya! Aku menelan air liur aku. Aku terasa janggal, rasa macam ada sesuatu yang menghimpit dada aku. Aku jadi gugup bila dengar nama ‘Adibah’.

            “Nanti bila dia balik aku suruh dia call kau ek?” Adibah bersuara lagi.
            “Aku tak de fon. Aku guna public je ni,” aku rasa segan.
            “Public fon?”
            “Asal? Keji ke kalau aku guna public fon?” Woi Hilman! Kenapa kau cakap macam itu? Bodoh kau Hilman! Kau tengah cakap dengan perempuanlah!
            “Ek eleh mamat ni. Aku tak cakap apa pun. Kau nak emo bagai nape?”
            “Diamlah”
            “Diamlah!”

            Aku bukan marah, tapi sikap aku memang macam ini. Suka memberontak. Comel juga dengar suara Adibah marah. Boleh pula kami bertengkar dalam telefon. Yang peliknya dia tak letak telefon. Macam mahu bergaduh dengan aku lagi. Memang sikap perempuan macam ini ke? Suka bertengkar. Aku yang mula dulu sebenarnya. Salah aku juga. Tapi dia tak mahu mengalah. Nasiblah.

            “Dahlah Adibah! Aku nak bagitau dia yang aku dapat masuk UKM. Intake bulan September ni. Aku dapat perguruan sukan dan rekreasi,” aku berkata.
            “Sibuk je kau nak ke UKM. Aku pun dapat kat UKM gak!” seraya Adibah menjawab. Tapi selepas aku dengar nafas dia tersentak, aku boleh agak yang dia terlepas cakap.
            “Kau dapat kat UKM? Amik apa?”
            “... perguruan bahasa Inggeris”
            “Baguslah. Nanti aku jumpa kau kat sana”
            “Siapa nak jumpa ngan kau, gatal!”

            Terus dia letak telefon. Bengang pula aku. Aku nak beritahu Auntie Julie tapi tak diberi peluang pula. Hai Adibah, kau memang nak kena dengan aku. Siaplah kau bila aku jumpa kau di UKM nanti. “Sabarlah Hilman! Dia perempuan kot? Kau nak dendam sangat kenapa?” tiba-tiba Safwan membentak. Okay fine! Biarlah Adibah yang menang. Suka hati dialah nak buat apa pun!

            Tiba-tiba aku tersenyum. Kebahagiaan mula menerbit di jiwa. Sudah lama aku tak tersenyum seikhlas sekarang. “Untunglah dah ada awek. Nanti kau lupakan aku pulak,” Safwan merajuk. “Diamlah Safwan! Dia bukan awek akulah bongok!” aku jerkah Safwan. Pekerja kedai runcit memandang aku seolah-olah aku seorang yang tidak waras. Aku mengangkat tangan tanda sapaan mesra. Aku lupa. Orang biasa tak boleh nampak Safwan. Aku sedar tentang hakikat itu. Tapi kadang-kadang aku terlupa yang sebenarnya aku bercakap dengan diri sendiri, dengan kepala aku sendiri.

            Kadang-kadang aku terfikir apa sebabnya aku berubah sampai jadi macam ini. Adakah kerana pemergian Dr. Islam? Ataupun tertekan dengan masalah keluarga? Ataupun berang sebab dengar kritikan orang tentang aku? Yang pasti, aku seorang yang suka bersendirian. Aku cipta Safwan, tapi aku masih waras. Aku sedar yang Safwan tak wujud. Dia hanyalah kawan imaginasi aku. Sedihkan kisah hidup aku? Aku ceritakan kisah aku kepada kau, aku sebagai karakter fiksyen, kerana aku tahu bahawa ramai lagi insan seperti aku di dunia nyata yang kau sedang duduki itu. Cuma kau buat endah tak endah saja. Buka mata kau. Cari ‘aku’. Kau akan tahu betapa terseksanya jiwa ketika berada di tempat aku. Tapi kau pentingkan diri sendiri. Kau fikir masalah kau saja. Kau tak fikir tentang orang lain. Di dalam dunia kau, apa yang penting pada kau adalah kau, kau dan kau.

Sedar-sedar saja aku sudah berada di rumah, aku berada di dalam dakapan mak aku. Bila masa pula aku balik rumah? Aku tak sedar. Aku tak ingat pun berjalan ke rumah. Yang aku ingat aku sedang mamai memikirkan tentang Adibah. Safwan duduk di sofa sedang menonton televisyen, mengendahkan perbuatan kami di situ. “Man belajarlah elok-elok nanti. Boleh ubah masa depan Man. Mak dah tak mampu. Man sorang jelah yang boleh buat,” kata-kata mak aku yang cuba untuk menyemarakkan semangat aku.

Tapi aku masih lagi keliru. Serius kata aku tak ingat macam mana aku balik ke rumah. Seolah-olah memori aku dipadamkan begitu saja. Macam pendrive yang kena format. Aku jeling ke arah Safwan. Safwan masih mengendahkan aku. Kata-kata nasihat mak aku tak ambil peduli. Suara dia tenggelam seolah-olah aku boleh melaraskan kelantangannya. Aku cuba untuk ingat balik. Tak ada. Kosong. Tak ada data yang aku boleh imbas kembali memori aku sebelum aku sampai ke rumah. Aku sakit ke?

“Ngape Man?” mak aku bertanya.
“Tak de pape mak. Mak ingat tak bila Man balik?”
“Baru tadi le. Kau balik terus bagitau mak yang kau dapat ke UKM”
“Oh ek? Man lupa”
“Ate mana idaknya. Man asyik panggil diri Man Safwan je”

Safwan? Macam mana mak aku tahu pasal Safwan? Aku panggil diri aku sebagai Safwan? Memang Safwan ke yang bawa aku balik ke rumah? Dengan apa? Naik apa? Dan yang paling misteri, macam mana? Macam-macam persoalan datang menghinggap kotak pemikiran aku. Aku menoleh ke arah sofa tapi Safwan telah hilang. Mana pula budak itu pergi?

“Macam mana mak kenal Safwan?”
“Mana le mak tau. Man yang dok sebut-sebut Safwan. Mak ingat Man tersasul sebab rindukan arwah abi Safwan Islam kau tu”

Mungkin jugalah. Aku ada juga berfikir tentang arwah sebelum aku balik ke rumah. Aku rasa itu juga salah satu faktor aku boleh berjalan tanpa sedar. Aneh. Sebab aku tak pernah alami situasi macam ini. Yang lagi aneh, kenapa aku panggil diri aku sebagai Safwan depan mak aku? Pelik.

Auntie Julie tak balas panggilan aku pada malam itu. Sepanjang malam aku menanti telefon rumah untuk berdering tetapi hampa. Kemungkinan dia begitu sibuk dengan urusan dakwahnya. Aku pun malas nak menjadi penghalang kepada orang yang membuat kerja mulia itu. Dia adalah seorang pendakwah dan aku hormati dia sejak aku kenali dia. Cuma sekarang aku agak keliru dengan para pendakwah masa kini dan pendakwah seperti auntie. Aku selalu tertanya-tanya sama ada pendakwah memang ditugaskan untuk menegakkan hukum atau menghukum?

Aku cuba untuk kontraskan Ustaz Pazli, bekas ustaz Pendidikan Islam aku, dengan arwah Dr. Islam. Sangat berbeza. Macam langit dan bumi. “Awak tau tak hukumnya haram kalau pegang perempuan? Awak boleh masuk neraka tau? Dalam kitab... (sekian sekian),” itulah yang aku dengar bila Ustaz Pazli menengking Karim dan Haliza semasa mereka berpegangan tangan di sekolah dulu. “Kau ni nak jadi apa? Allah dah jadikan kau lelaki, kau nak jadi perempuan. Itulah namanya orang yang tak bersyukur!” masa itu dia sedang menegur Sofie. Walaupun aku tak seberapa nak rapat dengan mereka, tapi aku rasa simpati. Simpati sebab Karim, Haliza dan Sofie adalah makhluk bertuhan tetapi mereka dihalau daripada mengenali Tuhan. Kenapa orang yang dah kenali Tuhan tak mahu membawa orang lain mendekati Tuhan? Patutlah ramai orang lari dari Tuhan!

“Abi, apa hukumnya kalau orang tu tak tutup aurat? Pastu main pegang-pegang lelaki?” aku tanya arwah Dr. Islam semasa arwah masih ada.
“Hmm? Hukumnya senang je. Cuba Man jawab sendiri”
“Haram?”
“Ikutkan ya. Tapi abi nak Man fikir lain sikit. Boleh?” sapa dia lembut.
“Fikir macam mana ek? Makruh ek? Habis tu?”
Arwah Dr. Islam tergelak. “Taklah Man,” arwah mengusap rambut aku. “Hukumnya, kita kena nasihat orang tu dengan penuh hikmah. Sebab, Allah kata orang yang paling baik perkataannya adalah orang yang mengajak orang lain kepada Allah. Kita nakkan Islam tersebarkan?” Aku mengangguk. Aku muda lagi masa itu. Umur dalam lingkungan 15 tahun jugalah. “Kalau nak Islam tersebar, kita kena tunjukkan keindahan Islam dekat orang lain. Bukan menghalau orang lain daripada melihat Islam”

41:33. Nombor yang aku ingat sampai mati. Arwah suka sangat bercakap tentang dalil itu. Arwah sudah cuba untuk bagi aku faham dengan ayat-ayat dalam surah tersebut. Aku bodoh, aku gagal untuk memahaminya. Itulah sebabnya aku jadi macam ini. Tak terurus, mula memberontak dan aku biarkan syaitan menakluki iman aku. Yang anehnya, lepas arwah Dr. Islam meninggal tak ada sesiapa pun yang jalankan tugasnya dalam 41:33 itu! Semua biarkan aku jadi jahat! Persetankan semua orang!

Air mata aku mula mengalir. Aku tekup muka pada bantal Hello Kitty aku. Dengar macam femininkan? Aku pun rasa macam itu. Dah lama aku tak tukar cadar dan sarung bantal. Memang dari kecil aku pakai cadar bergambar Hello Kitty. Itupun aku beli di pasar malam dengan mak aku. Murah. Bolehlah. Asalkan bercorak juga tempat tidur aku. Daripada lopong dihiasi oleh bekas-bekas air liur basi aku. Eww.

Beberapa minggu telah berlalu dan kini sudah tibanya masa untuk aku mengubah hidup aku ke tahap yang lebih baik. Mak berpusu-pusu ke luar dan ke dalam bilik, mencari pin tudungnya yang usang itu. Itu pin tudung yang aku belikan pada hari lahirnya. Sampai sekarang pin itulah yang digunakan. Padahal banyak lagi pin yang dia ada. Bangga. Pin itu sebesar syiling 50 sen lama. Memang bersinar kalau terkena cahaya matahari. Pin itu berbentuk bunga dihiasi dengan berlian-berlian palsu yang berwarna-warni. Aku beli di PKNS Bangi. Mahal juga. Aku sanggup tak makan 5 hari semata-mata untuk beli pin itu.

“Auntie Julie dah sampai?” mak tanya.
“Belum lagi mak. Japgi dia sampai la tu”

Ternyata betul. Tiba-tiba aku dengar bunyi kereta di laman rumah. Cepat-cepat aku pergi menjenguk. Auntie Julie keluar dari keretanya tanpa mematikan enjin. “Hilman! Auntie dah sampai. Jom cepat,” jeritnya dari luar. Aku mengangkat beg-beg baju aku ke luar rumah dan membawanya ke dalam bonet kereta Auntie Julie. Hari ini Auntie Julie akan temankan aku ke UKM.

Lupa aku nak ceritakan. Lepas dia balik dari Terengganu dia terus ke rumah aku. Agak segan jugalah sebab kami sudah kehabisan stok teh. Tapi dia tak kisah. Hanya datang untuk melawat saja. Sebelum dia balik aku ternampak dia berpelukan dengan mak aku di luar. Mak kesat air mata dia. Aku tak tahulah apa yang mereka bincangkan. Yang pasti, air mata mak adalah air mata gembira, bukan air mata sedih. Selalunya ayahlah yang menjadi dalang kepada kesedihan mak. Ha’ahlah. Mana ayah? Dah lama tak nampak dia. Takkan anak nak pergi universiti pun tak nak balik? Biarlah.

“Nanti kalau Hilman tak de duit nak makan, Hilman bagitau auntie tau?” sua auntie sambil menghulurkan kad ATM Maybank.
“Eh! Apa ni auntie? Pandailah saya hidup nanti,” aku menolak. Sedangkan aku nakkan kad ATM itu.
“Tak pe Man. Man amik je kad ni. Rezeki tak baik ditolak. Lagipun abi mesti nakkan Man berjaya jugak kan? Macam mana nak berjaya kalau makan pun tak cukup?” pujuk auntie.
“Ambik je la Man. Ate nanti mak nak masukkan duit untuk kau macam mana?” kata mak pula.

Perlahan-lahan aku menghulurkan tangan untuk mengambil kad ATM tersebut. Auntie menyumbangkan senyuman yang ikhlas kepada aku. Aku jadi segan. Kami sekarang berada di Kolej Aminuddin Baki. Dalam surat tawaran tulis yang aku kena mendaftar di situ. Ramai jugalah pelajar baru di sana. Jadi riuh rendah suasana di dalam lobi kolej itu. “Bilik ayo kat mana?” tanya mak. Auntie Julie pun membawa mak ke tandas dan meninggalkan aku keseorangan di situ. Kad ATM masih aku genggam. Tiba-tiba aku rasa lebih bersemangat untuk belajar sebab aku yakin ada orang yang akan bantu aku sepanjang pengajian aku. Pasti.

“Cewah. Dah jadi pelajar U. Semat lah kau pakai baju ni. Cenggini haa,” kata Safwan sambil mengangkat thumbs up. Aku tersengih. “Safwan, kau akan jaga aku kan?” kata aku. Safwan mengangguk. Keyakinan aku untuk hidup di sini bertambah marak. Aku yakin bahawa Safwan akan menjaga aku juga. Secara mental dan emosilah. Bukan dari segi fizikal. Aku rasa selamat.

Aku mengangkat beg baju aku dan mula mengatur langkah untuk ke hadapan. Tiba-tiba...

SNAP! DUM!

Keberatan beg aku telah menyebabkan talinya terputus. Beg lama, biasalah. Beg itu milik ayah yang sudah lama tak digunakan. Hampir 5 tahun tersimpan di dalam stor. Mungkin beg itu telah reput. Nasib baik tali beg. Kalau begnya yang rabak? Habis berselerak pakaian-pakaian aku nanti! Aku melutut untuk mengangkat beg itu. “Hahaha! Clumsy gila kau!” tiba-tiba Safwan bersuara di belakang aku. Babi betul kau ni Safwan. Kau boleh gelakkan aku.

“Allah,” ada seorang remaja yang bersuara di hadapan aku lalu melutut untuk menolong aku. Aku terdiam. Tak bersuara dan terkedu. Keseganan menjangkiti aku secara melampau-lampau pada ketika itu. Aku boleh rasa darah mengalir laju di pipi. Yalah, aku budak miskin berbaju lusuh. Tak setanding dengan pemakaian remaja lelaki yang sedang tersenyum di hadapan aku ini. “Kau okay tak ni? Boleh bawak?” dia bertanya. Aku hanya mengangguk dan masih tidak bersuara. Mata aku tak lepas memandang lantai. Pergilah, pergilah, pergilah. Tinggalkan aku boleh tak?

“Nama aku Muhammad Nazmi,” dia memperkenalkan dirinya sambil menghulur tangan untuk berjabat. Tampak ikhlas. Aku mula memandang wajahnya. Aku menyambut tangannya dan berjabat ringkas dan cepat. “Nama kau siapa?” tiba-tiba dia bertanya. Kenapa ambil berat sangat pasal aku? Aku lempang nanti baru kau tahu.

“Nama aku... Aku... Safwan,” eh? Mulut aku bergerak dengan sendiri.
“Safwan je?”
“Tak! Nama aku Hilman”
“Jadi, Safwan Hilman?”
“Tak, tak, tak. Hilman. Bukan Safwan,” mata aku mula meliar mencari Safwan.
“Haha! Kau ni unik lah. Nama sendiri pun boleh tersasul,” katanya sambil tersengih.

Aku pun turut tersenyum. Kelakar betul. Macam mana aku boleh tersasul? Cuma yang jadi tanda tanyanya ketika mulut aku bergerak sendiri. Macam bukan aku yang mengawalnya. Kau pernah tengok X-Men? Kan Professor X gunakan minda dia untuk kawal orang? Mungkin Safwan buat begitu pada aku. Aku tergelak sendiri. Safwan mana ada super power.

“Meh sini aku bawakkan beg kau. Kesian pulak tengok kau ni,” dia terus menyambar beg baju aku dari dakapan aku. “Jom?” dia mengajak aku untuk mendaftar. Aku mengangguk. Aku tak banyak bersuara. Mungkin aku masih segan dengan orang yang aku masih tak kenal secara mendalam.

Aku ternampak Safwan. Dia sedang bersandar pada dinding dan tersenyum sinis pada aku. Pelik. Aku tak pernah nampak muka dia macam itu. Dia macam tengah memerli aku. Kenapa?

Dia memalingkan mukanya dari aku, berjalan lalu hilang dari pandangan. Macam debu yang dibawa pergi oleh angin. Kenapa Safwan? Aku ada buat salah dengan kau ke?

No comments:

Post a Comment