(6)
Rasanya inilah
pertama kali aku melangkah masuk ke dalam kafe siber. Itupun sebab aku bukan
lagi pelajar sekolah menengah. Sebelum ini apa-apa urusan yang melibatkan
penggunaan internet aku akan gunakan PC di makmal komputer ataupun aku pinjam
laptop milik Cik Farah. Sebelum aku ke CC aku ada juga minta tolong pada Auntie
Julie tapi dia tiada di rumah. Katanya dia sedang berada di Terengganu bersama
Adibah dan beberapa orang lagi. Kenapalah aku sering menyebut nama Adibah?
Pelik. Aku ke CC pun bukan sebab mahu main game, tapi aku mahu periksa
permohonan UPU aku. Suasana di CC sangat menyedihkan dan menjelikkan. Bau
tengik asap rokok mula mengganggu pernafasan aku. Bunyi teriakan para remaja
yang telah berjaya menawan Frozen Throne membingitkan telinga aku. Aku tak
faham. Perlu ke bergembira atas kemenangan grafik yang bergerak? Aku tersenyum
senget. Pada aku, aku nak bentuk masa hadapan aku. Buang masa saja melayan
grafik berwarna sedangkan aku boleh menggunakan masa itu untuk melakar strategi
masa hadapan aku.
“Laa. Sini kau rupanya. Penat aku
cari kau,” tiba-tiba Safwan menyapa.
“Aku cuaklah Safwan. Macam mana
kalau aku dapat jauh-jauh? Siapa nak jaga mak aku?”
“Kau jangan risau. Adatlah tu beb.
Cepatlah masukkan nombor IC kau tu”
Baru aku sedar yang aku sudah lama
menatap dan terpana pada skrin komputer itu. Ruangan untuk aku menaip nombor IC
masih tidak dipenuhi lagi. Itulah masalah aku sebenarnya. Akademik aku
cemerlang tapi aku tak ada self confidence dalam diri aku. Senang saja aku
berasa risau sebelum aku buat sesuatu benda. Macam SPM hari itulah. Payah untuk
aku yakin yang aku akan cemerlang. Nasiblah ada Safwan yang selalu bagi
semangat pada aku.
Akhirnya ruangan itu dipenuhkan.
Perlahan-lahan aku menekan pada ikon ‘masuk’. Titisan peluh tampak kelihatan
pada dahiku. Jantungku agak kencang. Ada hikmahnya juga internet CC itu lembab.
Sekurang-kurangnya dapat beri aku masa untuk menenangkan diri. Tiba-tiba lagu
Alice oleh Avril Lavigne bermain di kepala. Satu per satu liriknya aku cuba
fahami. Tak kisah apa yang terjadi selepas ini, aku kena hadapinya dengan
tabah. Get ready Hilman, you are going to throw yourself into a wonderland.
“Sudah-sudahlah kau menyanyi lagu Avril tu. Page UPU dah habis loadinglah
ngok!” jerkah Safwan. Terkejut aku. Aku memandang terus ke skrin komputer.
Aku terkedu. Rasa bersyukur pun ada,
rasa risau pun ada. Perasaan bercampur baur.
Aku ditawarkan untuk sambung belajar
dalam bidang Diploma Perguruan Sukan dan Rekreasi di Universiti Kebangsaan
Malaysia. Alamak. Jadi guru! Aku menepuk dahiku yang leper ini. Habislah aku
kena hadam dengan PBS! Dahlah isu itu yang paling hangat dalam dunia
pendidikan! Mana taknya? Setiap kali aku masuk bilik guru, mesti dia orang akan
cakap pasal isu ini. Sama ada dia orang sokong ataupun tak, itu bukan urusan
aku pada waktu itu. Tapi sekarang aku pula yang terjerumus dalam bidang ini.
Bukan aku tak sedar. Kadang-kadang cikgu aku tak masuk kelas sebab mahu siapkan
laporan PBS dia orang. Mampuslah aku nanti. Eh kejap, alhamdulillah dapat
sambung belajar (serius kata, orang macam aku patut dihempuk sampai pitam sebab
tak reti nak bersyukur. Kalau kau jumpa aku, kau pukul saja. Aku benarkan).
“Wuu, jadi cikgulah kau nanti,” ujar
Safwan mengejek.
“Diamlah sial! Kau tak tau keperitan
aku nanti,” aku balas.
“Haha. Kau panggil je aku nanti. Aku
pasti datang tolong kau”
“Yalah sangat”
Aku keluar dari CC dan pergi ke
kedai runcit. Bukan nak beli barang tapi di sebelah kedai runcit tersebut ada
telefon awam. Aku nak beritahu kepada Auntie Julie yang akhirnya aku berpeluang
masuk ke UKM. Mesti dia suka. Pertama sebab itu harapan dia. Kedua sebab dekat
dengan rumah aku. Tak adalah jauh sangat. Bolehlah aku balik menjenguk mak aku
nanti. Nombornya aku dail. Aku ingat nombor dia sampai ke hari ini. Aku hafal
nombor dia dan nombor arwah Dr. Islam. Dah lama aku tak dail nombor arwah.
Terasa rindu pula. Agaknya siapa pula yang guna nombor arwah?
“Assalamualaikum?” ada suara yang
menyapa aku. Eh, ini bukan suara Auntie Julie. Suaranya agak lembut berbanding
dengan Auntie Julie.
“Waalaikumussalam,” aku terdengar
gadis itu menarik nafas dengan panjang. Mungkin dia tersentak sebab dia tahu
yang dia sedang bercakap dengan seorang lelaki. “Boleh tak kalau saya nak cakap
dengan ummi, (aku tersasul sebab aku asyik fikirkan tentang arwah Dr. Islam)
err... Auntie Julie?”
“Dia tak adalah. Dia pergi keluar
kejap tapi dia terlupa nak bawa fon. Ni siapa ye? Hilman ek?” kata gadis itu.
“A’ah. Dia pergi mana?”
“Pergi beli makanan untuk anak usrah
dia. Kau nak apa Hilman?”
“Saya, err... Hilman... Aku nak
bagitau dia something. Kau ni siapa pulak?”
“Adibah”
Pergh! Adibah rupanya! Aku menelan
air liur aku. Aku terasa janggal, rasa macam ada sesuatu yang menghimpit dada
aku. Aku jadi gugup bila dengar nama ‘Adibah’.
“Nanti bila dia balik aku suruh dia
call kau ek?” Adibah bersuara lagi.
“Aku tak de fon. Aku guna public je
ni,” aku rasa segan.
“Public fon?”
“Asal? Keji ke kalau aku guna public
fon?” Woi Hilman! Kenapa kau cakap macam itu? Bodoh kau Hilman! Kau tengah
cakap dengan perempuanlah!
“Ek eleh mamat ni. Aku tak cakap apa
pun. Kau nak emo bagai nape?”
“Diamlah”
“Diamlah!”
Aku bukan marah, tapi sikap aku
memang macam ini. Suka memberontak. Comel juga dengar suara Adibah marah. Boleh
pula kami bertengkar dalam telefon. Yang peliknya dia tak letak telefon. Macam
mahu bergaduh dengan aku lagi. Memang sikap perempuan macam ini ke? Suka
bertengkar. Aku yang mula dulu sebenarnya. Salah aku juga. Tapi dia tak mahu
mengalah. Nasiblah.
“Dahlah Adibah! Aku nak bagitau dia
yang aku dapat masuk UKM. Intake bulan September ni. Aku dapat perguruan sukan
dan rekreasi,” aku berkata.
“Sibuk je kau nak ke UKM. Aku pun
dapat kat UKM gak!” seraya Adibah menjawab. Tapi selepas aku dengar nafas dia
tersentak, aku boleh agak yang dia terlepas cakap.
“Kau dapat kat UKM? Amik apa?”
“... perguruan bahasa Inggeris”
“Baguslah. Nanti aku jumpa kau kat
sana”
“Siapa nak jumpa ngan kau, gatal!”
Terus dia letak telefon. Bengang
pula aku. Aku nak beritahu Auntie Julie tapi tak diberi peluang pula. Hai
Adibah, kau memang nak kena dengan aku. Siaplah kau bila aku jumpa kau di UKM
nanti. “Sabarlah Hilman! Dia perempuan kot? Kau nak dendam sangat kenapa?”
tiba-tiba Safwan membentak. Okay fine! Biarlah Adibah yang menang. Suka hati
dialah nak buat apa pun!
Tiba-tiba aku tersenyum. Kebahagiaan
mula menerbit di jiwa. Sudah lama aku tak tersenyum seikhlas sekarang.
“Untunglah dah ada awek. Nanti kau lupakan aku pulak,” Safwan merajuk. “Diamlah
Safwan! Dia bukan awek akulah bongok!” aku jerkah Safwan. Pekerja kedai runcit
memandang aku seolah-olah aku seorang yang tidak waras. Aku mengangkat tangan
tanda sapaan mesra. Aku lupa. Orang biasa tak boleh nampak Safwan. Aku sedar
tentang hakikat itu. Tapi kadang-kadang aku terlupa yang sebenarnya aku bercakap
dengan diri sendiri, dengan kepala aku sendiri.
Kadang-kadang aku terfikir apa
sebabnya aku berubah sampai jadi macam ini. Adakah kerana pemergian Dr. Islam?
Ataupun tertekan dengan masalah keluarga? Ataupun berang sebab dengar kritikan
orang tentang aku? Yang pasti, aku seorang yang suka bersendirian. Aku cipta
Safwan, tapi aku masih waras. Aku sedar yang Safwan tak wujud. Dia hanyalah
kawan imaginasi aku. Sedihkan kisah hidup aku? Aku ceritakan kisah aku kepada
kau, aku sebagai karakter fiksyen, kerana aku tahu bahawa ramai lagi insan
seperti aku di dunia nyata yang kau sedang duduki itu. Cuma kau buat endah tak
endah saja. Buka mata kau. Cari ‘aku’. Kau akan tahu betapa terseksanya jiwa
ketika berada di tempat aku. Tapi kau pentingkan diri sendiri. Kau fikir
masalah kau saja. Kau tak fikir tentang orang lain. Di dalam dunia kau, apa
yang penting pada kau adalah kau, kau dan kau.
Sedar-sedar saja aku sudah berada di rumah, aku berada di dalam dakapan mak
aku. Bila masa pula aku balik rumah? Aku tak sedar. Aku tak ingat pun berjalan
ke rumah. Yang aku ingat aku sedang mamai memikirkan tentang Adibah. Safwan
duduk di sofa sedang menonton televisyen, mengendahkan perbuatan kami di situ.
“Man belajarlah elok-elok nanti. Boleh ubah masa depan Man. Mak dah tak mampu.
Man sorang jelah yang boleh buat,” kata-kata mak aku yang cuba untuk
menyemarakkan semangat aku.
Tapi aku masih lagi keliru. Serius kata aku tak ingat macam mana aku balik
ke rumah. Seolah-olah memori aku dipadamkan begitu saja. Macam pendrive yang
kena format. Aku jeling ke arah Safwan. Safwan masih mengendahkan aku.
Kata-kata nasihat mak aku tak ambil peduli. Suara dia tenggelam seolah-olah aku
boleh melaraskan kelantangannya. Aku cuba untuk ingat balik. Tak ada. Kosong.
Tak ada data yang aku boleh imbas kembali memori aku sebelum aku sampai ke
rumah. Aku sakit ke?
“Ngape Man?” mak aku bertanya.
“Tak de pape mak. Mak ingat tak bila Man balik?”
“Baru tadi le. Kau balik terus bagitau mak yang kau dapat ke UKM”
“Oh ek? Man lupa”
“Ate mana idaknya. Man asyik panggil diri Man Safwan je”
Safwan? Macam mana mak aku tahu pasal Safwan? Aku panggil diri aku sebagai
Safwan? Memang Safwan ke yang bawa aku balik ke rumah? Dengan apa? Naik apa?
Dan yang paling misteri, macam mana? Macam-macam persoalan datang menghinggap
kotak pemikiran aku. Aku menoleh ke arah sofa tapi Safwan telah hilang. Mana
pula budak itu pergi?
“Macam mana mak kenal Safwan?”
“Mana le mak tau. Man yang dok sebut-sebut Safwan. Mak ingat Man tersasul
sebab rindukan arwah abi Safwan Islam kau tu”
Mungkin jugalah. Aku ada juga berfikir tentang arwah sebelum aku balik ke
rumah. Aku rasa itu juga salah satu faktor aku boleh berjalan tanpa sedar.
Aneh. Sebab aku tak pernah alami situasi macam ini. Yang lagi aneh, kenapa aku
panggil diri aku sebagai Safwan depan mak aku? Pelik.
Auntie Julie tak balas panggilan aku pada malam itu. Sepanjang malam aku
menanti telefon rumah untuk berdering tetapi hampa. Kemungkinan dia begitu
sibuk dengan urusan dakwahnya. Aku pun malas nak menjadi penghalang kepada
orang yang membuat kerja mulia itu. Dia adalah seorang pendakwah dan aku
hormati dia sejak aku kenali dia. Cuma sekarang aku agak keliru dengan para
pendakwah masa kini dan pendakwah seperti auntie. Aku selalu tertanya-tanya
sama ada pendakwah memang ditugaskan untuk menegakkan hukum atau menghukum?
Aku cuba untuk kontraskan Ustaz Pazli, bekas ustaz Pendidikan Islam aku,
dengan arwah Dr. Islam. Sangat berbeza. Macam langit dan bumi. “Awak tau tak
hukumnya haram kalau pegang perempuan? Awak boleh masuk neraka tau? Dalam
kitab... (sekian sekian),” itulah yang aku dengar bila Ustaz Pazli menengking
Karim dan Haliza semasa mereka berpegangan tangan di sekolah dulu. “Kau ni nak
jadi apa? Allah dah jadikan kau lelaki, kau nak jadi perempuan. Itulah namanya
orang yang tak bersyukur!” masa itu dia sedang menegur Sofie. Walaupun aku tak
seberapa nak rapat dengan mereka, tapi aku rasa simpati. Simpati sebab Karim,
Haliza dan Sofie adalah makhluk bertuhan tetapi mereka dihalau daripada
mengenali Tuhan. Kenapa orang yang dah kenali Tuhan tak mahu membawa orang lain
mendekati Tuhan? Patutlah ramai orang lari dari Tuhan!
“Abi, apa hukumnya kalau orang tu tak tutup aurat? Pastu main pegang-pegang
lelaki?” aku tanya arwah Dr. Islam semasa arwah masih ada.
“Hmm? Hukumnya senang je. Cuba Man jawab sendiri”
“Haram?”
“Ikutkan ya. Tapi abi nak Man fikir lain sikit. Boleh?” sapa dia lembut.
“Fikir macam mana ek? Makruh ek? Habis tu?”
Arwah Dr. Islam tergelak. “Taklah Man,” arwah mengusap rambut aku. “Hukumnya,
kita kena nasihat orang tu dengan penuh hikmah. Sebab, Allah kata orang yang
paling baik perkataannya adalah orang yang mengajak orang lain kepada Allah.
Kita nakkan Islam tersebarkan?” Aku mengangguk. Aku muda lagi masa itu. Umur
dalam lingkungan 15 tahun jugalah. “Kalau nak Islam tersebar, kita kena
tunjukkan keindahan Islam dekat orang lain. Bukan menghalau orang lain daripada
melihat Islam”
41:33. Nombor yang aku ingat sampai mati. Arwah suka sangat bercakap
tentang dalil itu. Arwah sudah cuba untuk bagi aku faham dengan ayat-ayat dalam
surah tersebut. Aku bodoh, aku gagal untuk memahaminya. Itulah sebabnya aku
jadi macam ini. Tak terurus, mula memberontak dan aku biarkan syaitan menakluki
iman aku. Yang anehnya, lepas arwah Dr. Islam meninggal tak ada sesiapa pun
yang jalankan tugasnya dalam 41:33 itu! Semua biarkan aku jadi jahat!
Persetankan semua orang!
Air mata aku mula mengalir. Aku tekup muka pada bantal Hello Kitty aku.
Dengar macam femininkan? Aku pun rasa macam itu. Dah lama aku tak tukar cadar
dan sarung bantal. Memang dari kecil aku pakai cadar bergambar Hello Kitty.
Itupun aku beli di pasar malam dengan mak aku. Murah. Bolehlah. Asalkan
bercorak juga tempat tidur aku. Daripada lopong dihiasi oleh bekas-bekas air
liur basi aku. Eww.
Beberapa minggu telah berlalu dan kini sudah tibanya masa untuk aku
mengubah hidup aku ke tahap yang lebih baik. Mak berpusu-pusu ke luar dan ke
dalam bilik, mencari pin tudungnya yang usang itu. Itu pin tudung yang aku
belikan pada hari lahirnya. Sampai sekarang pin itulah yang digunakan. Padahal
banyak lagi pin yang dia ada. Bangga. Pin itu sebesar syiling 50 sen lama.
Memang bersinar kalau terkena cahaya matahari. Pin itu berbentuk bunga dihiasi
dengan berlian-berlian palsu yang berwarna-warni. Aku beli di PKNS Bangi. Mahal
juga. Aku sanggup tak makan 5 hari semata-mata untuk beli pin itu.
“Auntie Julie dah sampai?” mak tanya.
“Belum lagi mak. Japgi dia sampai la tu”
Ternyata betul. Tiba-tiba aku dengar bunyi kereta di laman rumah.
Cepat-cepat aku pergi menjenguk. Auntie Julie keluar dari keretanya tanpa
mematikan enjin. “Hilman! Auntie dah sampai. Jom cepat,” jeritnya dari luar.
Aku mengangkat beg-beg baju aku ke luar rumah dan membawanya ke dalam bonet
kereta Auntie Julie. Hari ini Auntie Julie akan temankan aku ke UKM.
Lupa aku nak ceritakan. Lepas dia balik dari Terengganu dia terus ke rumah
aku. Agak segan jugalah sebab kami sudah kehabisan stok teh. Tapi dia tak
kisah. Hanya datang untuk melawat saja. Sebelum dia balik aku ternampak dia
berpelukan dengan mak aku di luar. Mak kesat air mata dia. Aku tak tahulah apa
yang mereka bincangkan. Yang pasti, air mata mak adalah air mata gembira, bukan
air mata sedih. Selalunya ayahlah yang menjadi dalang kepada kesedihan mak. Ha’ahlah.
Mana ayah? Dah lama tak nampak dia. Takkan anak nak pergi universiti pun tak
nak balik? Biarlah.
“Nanti kalau Hilman tak de duit nak makan, Hilman bagitau auntie tau?” sua
auntie sambil menghulurkan kad ATM Maybank.
“Eh! Apa ni auntie? Pandailah saya hidup nanti,” aku menolak. Sedangkan aku
nakkan kad ATM itu.
“Tak pe Man. Man amik je kad ni. Rezeki tak baik ditolak. Lagipun abi mesti
nakkan Man berjaya jugak kan? Macam mana nak berjaya kalau makan pun tak cukup?”
pujuk auntie.
“Ambik je la Man. Ate nanti mak nak masukkan duit untuk kau macam mana?”
kata mak pula.
Perlahan-lahan aku menghulurkan tangan untuk mengambil kad ATM tersebut.
Auntie menyumbangkan senyuman yang ikhlas kepada aku. Aku jadi segan. Kami
sekarang berada di Kolej Aminuddin Baki. Dalam surat tawaran tulis yang aku
kena mendaftar di situ. Ramai jugalah pelajar baru di sana. Jadi riuh rendah
suasana di dalam lobi kolej itu. “Bilik ayo kat mana?” tanya mak. Auntie Julie
pun membawa mak ke tandas dan meninggalkan aku keseorangan di situ. Kad ATM
masih aku genggam. Tiba-tiba aku rasa lebih bersemangat untuk belajar sebab aku
yakin ada orang yang akan bantu aku sepanjang pengajian aku. Pasti.
“Cewah. Dah jadi pelajar U. Semat lah kau pakai baju ni. Cenggini haa,”
kata Safwan sambil mengangkat thumbs up. Aku tersengih. “Safwan, kau akan jaga
aku kan?” kata aku. Safwan mengangguk. Keyakinan aku untuk hidup di sini
bertambah marak. Aku yakin bahawa Safwan akan menjaga aku juga. Secara mental
dan emosilah. Bukan dari segi fizikal. Aku rasa selamat.
Aku mengangkat beg baju aku dan mula mengatur langkah untuk ke hadapan.
Tiba-tiba...
SNAP! DUM!
Keberatan beg aku telah menyebabkan talinya terputus. Beg lama, biasalah.
Beg itu milik ayah yang sudah lama tak digunakan. Hampir 5 tahun tersimpan di
dalam stor. Mungkin beg itu telah reput. Nasib baik tali beg. Kalau begnya yang
rabak? Habis berselerak pakaian-pakaian aku nanti! Aku melutut untuk mengangkat
beg itu. “Hahaha! Clumsy gila kau!” tiba-tiba Safwan bersuara di belakang aku. Babi
betul kau ni Safwan. Kau boleh gelakkan aku.
“Allah,” ada seorang remaja yang bersuara di hadapan aku lalu melutut untuk
menolong aku. Aku terdiam. Tak bersuara dan terkedu. Keseganan menjangkiti aku
secara melampau-lampau pada ketika itu. Aku boleh rasa darah mengalir laju di
pipi. Yalah, aku budak miskin berbaju lusuh. Tak setanding dengan pemakaian
remaja lelaki yang sedang tersenyum di hadapan aku ini. “Kau okay tak ni? Boleh
bawak?” dia bertanya. Aku hanya mengangguk dan masih tidak bersuara. Mata aku
tak lepas memandang lantai. Pergilah, pergilah, pergilah. Tinggalkan aku boleh
tak?
“Nama aku Muhammad Nazmi,” dia memperkenalkan dirinya sambil menghulur
tangan untuk berjabat. Tampak ikhlas. Aku mula memandang wajahnya. Aku
menyambut tangannya dan berjabat ringkas dan cepat. “Nama kau siapa?” tiba-tiba
dia bertanya. Kenapa ambil berat sangat pasal aku? Aku lempang nanti baru kau
tahu.
“Nama aku... Aku... Safwan,” eh? Mulut aku bergerak dengan sendiri.
“Safwan je?”
“Tak! Nama aku Hilman”
“Jadi, Safwan Hilman?”
“Tak, tak, tak. Hilman. Bukan Safwan,” mata aku mula meliar mencari Safwan.
“Haha! Kau ni unik lah. Nama sendiri pun boleh tersasul,” katanya sambil
tersengih.
Aku pun turut tersenyum. Kelakar betul. Macam mana aku boleh tersasul? Cuma
yang jadi tanda tanyanya ketika mulut aku bergerak sendiri. Macam bukan aku
yang mengawalnya. Kau pernah tengok X-Men? Kan Professor X gunakan minda dia
untuk kawal orang? Mungkin Safwan buat begitu pada aku. Aku tergelak sendiri.
Safwan mana ada super power.
“Meh sini aku bawakkan beg kau. Kesian pulak tengok kau ni,” dia terus
menyambar beg baju aku dari dakapan aku. “Jom?” dia mengajak aku untuk
mendaftar. Aku mengangguk. Aku tak banyak bersuara. Mungkin aku masih segan
dengan orang yang aku masih tak kenal secara mendalam.
Aku ternampak Safwan. Dia sedang bersandar pada dinding dan tersenyum sinis
pada aku. Pelik. Aku tak pernah nampak muka dia macam itu. Dia macam tengah
memerli aku. Kenapa?
Dia memalingkan mukanya dari aku, berjalan lalu hilang dari pandangan.
Macam debu yang dibawa pergi oleh angin. Kenapa Safwan? Aku ada buat salah
dengan kau ke?