(1)
“Hilman! Tolonglah! Fikirkan kami! Ingat Allah, Hilman, ingat Dia!” jerit Adibah dari jauh. Kawan-kawan aku pun ada. Mereka fikir aku mahu terjun dari atas bumbung. Tapi aku hanya ingin mencari penyelesaian.
Aku teringat lagi saat aku berjumpa dengan Adibah buat pertama kalinya. Jujur, aku sukakan dia. Tetapi aku tak pernah meluahkan perasaan aku. Cuma yang menjadi anehnya apabila dia berdiri di situ dan memujuk aku seperti dia mengambil berat tentang aku. Aku boleh lihat kerutan pada dahinya yang licin dan gebu itu.
“Hilman, tolong, jauhkan diri kau dari situ,” pujuk Nazmi pula.
“Jangan dekat dengan aku. Pergi dari sini! Aku tak nak kau orang kena kacau dengan aku. Tolonglah!” aku jerit kembali.
Wajah aku dibasahi peluh. Nafas aku tercungap-cungap. Aku jadi blur sekejap. Ada sepasang tangan yang menggenggam kuat pada bahu aku. “Hilman, dia orang bukan member kau. Aku yang selalu ada bersama kau, aku dengar aduan kau, aku ketawa dengan kau. Kenapa kau senang sangat berubah fikiran? Kenapa kau boleh lupakan aku!?” tengking Safwan pada muka aku.
“Kau diam! Kaulah sebab aku jadi macam ni!”
“Bukan kau ke yang nakkan aku!? Sekarang aku setia dengan kau! Bukan itu ke yang kau nak!?” balas Safwan bengis.
Aku terdiam dan merasai kehangatan amarah aku di dalam dada. Aku memikirkan sesuatu. Sesuatu jalan yang boleh mengubah segala-galanya. Aku sudah penat hidup dengan Safwan. Dia membawa sial dalam hidup aku. Sial betul!
“Setia? Jom! Kita mati bersama!” seraya aku menolak badan aku dan Safwan terjun dari bumbung. Di awangan aku seakan-akan boleh merasai kehadiran maut. Tapi aku endahkan. Aku mahu lari. Lari dari Safwan. Jangan dia muncul di akhirat sudahlah. Aku tutup mataku dengan rapat. Kepalaku hampir menyentuh tanah.
“Oi!” tiba-tiba ada suara yang menggertak aku.
“Bodoh kau. Terkejut aku,” aku menyumpah.
Namaku Hilman. Aku baru berusia 17 tahun pada tahun ini. Apa jadi pada aku lepas itu? Kau akan tahu nanti. Tapi sekarang aku nak menceritakan tentang kebahagiaan aku apabila bersama sahabat bernama Safwan. Mungkin kau rasa cerita ini agak membosankan kerana melibatkan persahabatan. Macam klisekan? Mungkin kau boleh buka blog budak-budak Facebookers Islamik yang berceloteh tentang ukhuwah dengan penggunaan bahasa yang bajet good good itu. Tapi aku tak macam itu. Aku dengan Safwan memang bapak rapat. Dia buat aku rasa bahagia. Sebab dia setia dengan aku. Itu hajat pertama aku kepada Tuhan supaya Dia mewujudkan seorang sahabat yang setia.
Kau dah rasa terangsang dengan cerita ini? Kau boleh teruskan. Tapi aku beri amaran awal-awal. Cerita ini bukan seperti apa yang kau pernah baca di Facebook. Cerita ini lain. Mungkin boleh membuatkan kau fikir dua tiga kali untuk memahami cerita ini. Dah bersedia? Jom.
No comments:
Post a Comment