(3)
“Kenapa kau suruh aku belasah bapak aku!?”
“Aku cadangkan je. Aku kesian tengok mak kau”
“Selama ni kau tak suruh pun?”
“Entahlah. Dah tiba masanya kot? Dah tiba
masanya untuk aku tolong kau buat keputusan. Akukan sahabat kau?”
SPM dah hampir. Pembelajaran aku pun
dimaksimakan. Aku mengulang kaji bersama Safwan hampir setiap malam dan
sepanjang masa. Mak akan menyediakan teh dan kopi ketika kami belajar. Itu
sebagai tanda sokongan terhadap pembelajaran anaknya yang disayangi. Dia selalu
mendoakan aku supaya aku dapat masuk ke universiti dan ubah kehidupan aku. Aku
ada cakap yang aku mahu bantu dia tetapi dia tidak menyarankan aku untuk
belajar demi dia. Belajar kerana Tuhan katanya. Macam mana ya?
Pengawas peperiksaan sudah mengumumkan dan menyatakan
peraturan-peraturan ketika berada di dalam dewan peperiksaan. Bismillah.
Tanganku terasa dingin. Sejuk walaupun hari itu agak panas. Mungkin sebab aku
gugup. “Hilman, kau boleh jawab punya. Kau pandaikan? Aku yakin dengan kau,”
kata Safwan di sebelah aku. Karim pun sedang asyik berdoa. Aih? Baru nak kenal
Tuhan ke? Selama ini bukan main kau menggedik dengan Haliza dan sekarang baru
nak balik kepada Tuhan? Cakap orang, aku pun sama. Dua kali lima saja.
Loceng berdering sekuat-kuatnya. Aku keluar
dengan muka yang agak lemah. Penat aku memerah otak. “Eh you! Senang tak tadi?”
Sial betul. Tak pasal-pasal kena layan si Sofie. Aku dahlah penat.
“Bolehlah”
“Eiii! I rasa susah tadi tau? I manalah ingat
nama lautan yang pedagang apa kebenda entah guna tu!”
“Soalan tu aku pun tak jawab,” aku tipu. Senang
saja jawapannya tadi.
“Eh, you rasa you score berapa nanti?”
“Tak tahulah,” aku angkat beg dan berjalan
pergi meninggalkan Sofie.
“Eh! You nak ke mana? Tak nak lunch dengan I
ke?” Serius tak nak!
Aku sedang berjalan kaki dengan Safwan. Kami
banyak berborak sepanjang jalan itu. Aku suka buat lawak tentang Sofie. Safwan
akan gelak besar kalau dengar aku cakap “Choi!”. Memang itulah tagline yang
paling kerap si Sofie guna.
Tiba-tiba aku terdengar deruman enjin di
belakangku. Aroma kereta tersebut sudah cukup untuk aku mengenal pasti pemilik
kereta itu. Kereta Myvi milik Auntie Julie sedang mendekatiku. Dia berhentikan
keretanya di sebelah aku dan menurunkan tingkap keretanya yang half-tinted itu.
“Assalamualaikum!” ujar Auntie Julie.
“Waalaikumussalam,” balas aku dan Safwan
serentak.
“Jom naik dengan auntie?” dia pelawa.
Aku dan Safwan saling berpandangan. Mesti
Safwan tidak mahu untuk menaiki kereta Auntie Julie. Bukan kerana dia tidak
sukakan Auntie Julie tetapi dia suka berjalan kaki. Itu hobinya. “Tak apalah.
Aku jalan kaki saja. Nanti kita jumpa di rumah,” dia berkata. Aku tidak
mengangguk dan terus masuk ke dalam kereta lalu duduk di sebelah Auntie Julie.
Safwan melambai ke arah kami tatkala kami mula beransur pergi. Sedih pula
tengok dia berjalan seorang diri. Tapi takkan aku nak tolak ajakan Auntie
Julie? Dia baik orangnya.
“Hilman dah makan?” dia bertanya kepadaku.
“Dah,” aku tipu. Sedangkan aku tidak makan lagi
disebabkan ayah sudah curi duit mak.
“Jom teman Auntie makan? Auntie tak makan
lagi,” taktik dia untuk bawa aku makan. Dia mungkin sudah tahu bahawa aku
sedang berbohong. Aku hanya mengangguk dan berdiam diri.
Sebenarnya Auntie Julie adalah seorang janda
yang kematian suaminya 3 tahun yang lalu. Aku kenal sangat dengan arwah suaminya,
Dr. Islam. Namanya pun sudah memaparkan peribadinya. Dr. Islam pernah membawa
aku ke rumahnya untuk mengaji al-Quran dan menghayati maksudnya. Sambil-sambil
itu arwah pernah bersyarah tentang sejarah-sejarah nabi dan para sahabat kepadaku.
Ketika itu aku berumur 14 tahun. Mungkin susah sikit untuk memahaminya. Masa
itu Safwan masih tidak wujud dalam hidupku lagi. Masa itu Karim juga pernah
bersama dengan aku dan arwah tetapi tidak secara konstan. Kadangkala dia
ponteng mengaji kerana sibuk bermain online game di CC. Arwah pernah menyuruh
aku memanggil dia dan Auntie Julie dengan gelaran abi dan ummi yang bermaksud
ayah dan ibu. Aku ingat lagi yang aku menangis terharu sebab aku tak pernah
dapat keluarga yang sebegitu baik terhadapku. Arwah terlibat dalam kemalangan
jalan raya dan akhirnya meninggal dunia dalam dakapan Auntie Julie di hospital.
Aku berhenti memanggil Auntie Julie ummi disebabkan aku akan merindui abi (Dr.
Islam). Memang aku rindukan arwah. Kita jumpa di Syurga ya? Abi, nanti abi
tarik Hilman keluar dari neraka ya? Hilman seorang pendosa abi. Tiba-tiba aku
terasa sebak.
Auntie Julie masih bergiat aktif dalam aktiviti
dakwahnya. Selalu juga aku nampak para remaja muslimah datang ke rumahnya
ketika aku datang untuk menjemput mak pulang selepas habis mengemas di rumah
itu. Auntie Julie bukan seorang ustazah. Dia hanyalah seorang ahli bisnes yang
menjual vitamin kesihatan dalaman dan luaran wanita. Itu yang aku paling bangga
dengannya. Dia sangat mahir dalam berbisnes dan warak. Dia seorang yang
penyabar. Sehari selepas kematian arwah abi... maksud aku Dr. Islam, dia terus
berdakwah dengan drastik. Aku berbangga dengan dia.
“Hilman orderlah makanan. Auntie tak selesa
makan sorang-sorang. Tak bestlah,” dia kata. Aku dah agak. Mesti dia akan guna
taktik itu untuk mengumpan aku makan bersama. Rezeki jangan ditolak. “Nasi
goreng pattaya satu?”
Auntie Julie makan dengan sopan. Aku nak bersua
dengan dia pun tidak berani. Takut mengganggu dia yang sedang menikmati nasi
goreng daging merah dan segelas sirap laici ais. Aku perhatikan dia makan dari
tadi, sambil-sambil itu aku juga menyuapkan makanan aku ke dalam mulut. Berapa
lama aku tidak berborak dengan dia ya? Setakat terserempak adalah. Rindu pula
untuk memanggil dia dengan nama panggilan ‘ummi’.
“Macam mana dengan kertas sejarah tadi?” Eh?
Macam mana dia tahu aku jawab soalan sejarah tadi?
“Em? Bolehlah. Alhamdulillah senang,” kataku.
“Alhamdulillah. Hilmankan minat sejarah”
Aku tersenyum. Betul, aku minat dengan sejarah.
Aku teringat lagi buku “Ini Sejarah Kita” yang arwah Dr. Islam berikan kepada aku 3 tahun yang
lepas. Tapi serius aku tak minat sejarah waktu di dalam kelas. Aku belajar dan
menghafal fakta hanya untuk skor sahaja. Aku suka cara arwah Dr. Islam
menyampaikan fakta sejarah. Ada rohnya. Pergh.
“Auntie dengar Hilman pukul ayah. Betul ke?” Oh
my God. Soalan yang aku tak mahu jawab sekarang. Nasib baiklah orang di hadapan
aku adalah Auntie Julie. Kalau orang lain yang tanya dah lama aku naik angin.
“Betul” aku jawab.
“Dia selalu pukul mak ke?”
“Selalu auntie. Dia nak duit mak. Mak nak
simpan untuk saya”
Auntie Julie mengangguk. Dia kembali makan dan
menghirup air sirap laicinya. Merah bibirnya disebabkan kordial sirap tersebut.
“Hilman ada duit ke sekarang?” Aku tahu dia akan tanya soalan tersebut. Kalau
aku cakap ya dia akan bagi juga. Kalau tidak pun sama. Nak cakap jujur atau
tidak? Aku menggeleng. “Hilman, kalau Hilman tak ada duit, Hilman bagi tau
auntie tau? Jangan diam je. Nanti macam mana Hilman nak belajar?”
“Tak pe auntie.
Saya boleh hidup. Mak kan ada? Dia pun dapat duit dari auntie juga. Itupun
sebab dia bekerja dengan auntie. Saya? Kerja pun tak,” aku berbicara.
Auntie Julie
tersenyum melihat aku. Dia mengelap mulutnya dengan sekeping tisu yang dibuat
untuk membungkus sudu dan garfu sebentar tadi. “Kalau abi ada kat sini, mesti
dia dah usap kepala Hilmankan? Auntie tau yang arwah sangat berbangga dengan
Hilman. Maklumlah, kami tak de anak.” sambungnya lagi. Aku terdiam, terpaku.
Betul, arwah Dr. Islam selalu mengusap kepalaku. Aku suka bila arwah buat macam
itu. Rasa disayangi pun ada. Aku dilayan seperti anak sendiri. Arwah dan Auntie
Julie tidak ada anak. Hanya anak-anak buah saja. Err... Apa ya namanya? Usrah
kot? Aku lupa.
“Auntie? Saya
cadang nak masuk U lepas exam nanti”
“Oh? U mana?”
“Tak tahulah.
Yang pasti paling dekat dengan rumah. Tak nak tinggalkan mak sorang-sorang
dengan ayah. Entah apalah yang ayah akan buat nanti”
Auntie Julie
berfikir sejenak. “Mungkin Hilman boleh cuba kat UKM. Dekat je dengan rumahkan?
Naik KTM pun boleh rasanya. Kat situ ramai anak-anak kawan auntie yang auntie
kenal. Boleh tolong Hilman masa di U nanti”
Aku berasa lega
dan sedikit risau. Lega disebabkan ada orang yang boleh bantu aku semasa di U
nanti. Risau kerana aku takut terpisah dengan Safwan. Kau pernah tak rasa berat
untuk meninggalkan seseorang yang kau sayangi tetapi kau terpaksa demi
meneruskan kehidupan dan mencapai impian kau? Begitulah rasanya. Aku harap
Safwan faham. Dia mesti faham.
Dengan saki baki
masa yang ada, aku manfaatkan dengan membuat latihan matematik sebelum masuk ke
dalam dewan. Safwan pun ada di hadapan. Berkerut dahinya mahu menyelesaikan
masalah Algorithm. Dia menekan-nekan butang kalkulator dan kemudiannya
menyumpah seranah jika tidak mendapat jawapan yang betul. Aku tergelak di dalam
hati. “Bangsat. Aku lemah doh dengan matematik ni! Lantaklah! Biar failed pun
tak apa. Janji habis!” Dan akhirnya aku tergelak. “Asal kau gelak?
Mentang-mentanglah budak pandai, kau gelakkan budak bodoh,” kata Safwan sambil
mencebik. Comelnya dia, alahai. Aku cuba untuk menepuk bahunya.
...
Apa yang berlaku?
Oh...
Aku lupa yang aku
tak boleh sentuh dia. Bahaya. Nanti dia marah. Aku tak nak buat dia marah pada
aku. Sudah cukuplah dengan caci makian ayah aku padaku. Tak perlu untuk
mendapatkan cacian itu daripada sahabat karib aku sendiri. Aku menutup buku
matematik dan tenung mata Safwan. Mata Safwan... Seperti ada cerita yang perlu
dirungkaikan. Seolah-olah aku boleh lihat menerusi matanya. Safwan senyum pada
aku dan perlahan-lahan dia cuba untuk menyentuh pipiku. Hampa. Dia menarik
balik tangannya dan menyeluk sakunya. Kadangkala aku teringin untuk merasai
sentuhan Safwan. Katanya dia mempunyai masalah kulit yang tidak boleh disentuh
oleh orang lain. Nanti berjangkit. Setiap hari dia ke sekolah dengan berbaju
seragam berlengan panjang. Guru disiplin memberi pengecualian kepadanya. Kalau
aku yang memakai baju seragam berlengan panjang, pasti baju itu akan dirampas
dan akhirnya aku terpaksa menyarungkan kain songket untuk menutup auratku.
Malukan? Aku tak pernah kena. Pelajar-pelajar nakal sahaja akan didenda seperti
itu.
“Kau rasa kita
akan terpisah ke?” aku bertanya.
“Entah. Aku pun
tak tau,” kata Safwan sambil senyum.
“Mungkin. Sebab
lepas ni dua-dua akan sibuk dengan life masing-masing”
“Aku ada life
ke?”
“Apa maksud kau?”
“Tak ada pape.
Tak apa. Selagi kau ingat aku, aku setia dengan kau. Kau jangan risau”
“Aku janji”
Aku dengar
derapan tapak kaki di koridor bergema. Aku kembali mengulang kaji dan pura-pura
sibuk dengan mengira. Ianya semakin hampir. Tiba-tiba Haliza muncul di luar
kelas sambil memegang buku matematiknya. Sesudah dia memandang aku, dia
tersengih puas. Kemungkinan dia mahu aku mengajarnya. “Hai awak!” kata Haliza.
Sejak bila dia ber‘awak’ dengan aku? Geli pula rasanya. Aku bukan Karim untuk
bermanja-manja dengannya. “Awak, boleh tak kalau awak tolong ajar saya?” dia
mula membuatku rasa mual. Bodoh punya perempuan.
“Suruh Karim
ajarkan,” aku menjawab.
“Ala! Sekejap
aje. Sebelum masuk dewan, awak tolonglah ajarkan saya! Lagipun dia mana pandai
math. Awak pandailah”
“Jangan menggedik
kat sini boleh tak?”
“Ala! Tolonglah!”
tiba-tiba dia datang dekat dan menarik tanganku ketika mataku masih terpaku
pada buku latihan. Aku cukup pantang apabila seorang perempuan menyentuh kulitku
tanpa lapik. Sundal!
Dengan reaksi
refleks aku bangun dengan pantas dan menampar pipinya yang cengkung itu.
Tubuhnya akur dengan tenaga tamparan aku dan dia hampir terjatuh. Apabila dia kembali
memandang aku sambil memegang pipinya yang kemerahan (mungkin sedang merana
dengan sensasi hangat pada pipinya), aku terpandang pada bibirnya. Ada
bintik-bintik merah. Shit. Habislah. Aku sudah mencederakan dia. Siapa suruh
dia pegang tangan aku? Kenapa perlu menggedik depan aku?
Dia
perlahan-lahan mengundurkan diri dan akhirnya meninggalkan aku berseorangan di
dalam kelas. Aku harap dia tidak akan menghebohkan kes ini. Aku malas mahu
berdepan dengan masalah yang kolot dan remeh-temeh ini. Tapi, kenapa aku tampar
dia? Boleh saja aku tarik tangan aku dan tengking saja atau berlalu pergi atau
suruh dia yang pergi. Minda aku seperti dipanah petir. Aku terimbas kembali
memori lamaku pada malam mak aku terpaksa menyerahkan nombor PIN akaun
Maybanknya kepada ayah 3 tahun lepas. Mak sudah lama menabung untukku sejak
gaji pertamanya lagi. Ayah cukup tamak. Dia baru menang judi tapi tak sebanyak
mana pun. Pada malam itu dia masih mahu berjudi dan menggadaikan semua duit ganjarannya
bersama dengan duit simpanan mak. Mak bergelut dengan ayah sehingga dia
menampar muka mak menyebabkan mak jatuh dan terhantuk pada bucu meja sampai
berdarah dan pengsan. Hampir berjam-jam aku menunggu di luar bilik kecemasan di
hospital. Aku melilau-lilau mencari ketenangan. Kejadian itu berlaku seminggu
setelah Dr. Islam meninggal dunia. Fahamkan bagaimana kondisi psikologi aku pada
ketika itu? Aku menggeletar ketakutan. Aku mencari Tuhan. Dia sahaja tempat
yang aku boleh berharap. Aku dah tak sanggup kehilangan orang yang aku sayangi.
Aku sangat berharap arwah abi bersamaku sekarang dan mendakap aku yang sedang
menggigil ini.
“Kenapa bro? Apa
jadi?” ada satu suara menyapa aku. Seorang lelaki sebaya aku.
“Mak aku! Dia
pengsan sebab terhentak kat meja sebab ayah aku pukul dia,” jawab aku.
“Sabar bro,
sabar. Berdoa banyak-banyak”
Aku duduk di
kerusi plastik yang lusuh dan menekup mukaku dengan tangan sambil menangis. Aku
merasakan lelaki yang tidak dikenali tadi duduk di sebelahku. Dia tidak
menyentuh aku. Dia hanya pandang aku. Aku mengeluarkan mukaku dari cangkerang
tekupan tadi. Muka dia sungguh tenang dengan sisipan kasih dan simpati. Aku
jadi sejuk, jadi lebih tenang.
“Nama aku Safwan”
“Nama kau...”
“Kenapa?”
“Macam nama Dr.
Safwan Islam”
“Siapa tu?”
“Arwah abi aku”
“Oh”
“Aku Hilman”
Begitulah adegannya
ketika aku berjumpa Safwan buat pertama kali. Sejak dari itu dia selalu menjaga
aku, selalu bersama aku, selalu menenangkan aku. Kami baru bersahabat selama 3
tahun tetapi sudah seperti adik beradik. Dia tidak perlu mengambil masa yang
lama untuk memahami aku dan begitu juga dengan aku. Kami seakan-akan sehati dan
sejiwa. Sedangkan sahabat sejati pun memerlukan beberapa tahun untuk memahami
sesama sendiri. Kami lain. Malam itu juga aku sudah mempercayai dia dan aku
berasa sungguh selesa dengan dia.
“Apa kau nak buat
dengan minah sundal tu?” Safwan bersuara.
“...” aku kembali
mengulang kaji. “Biarkan dia dengan bastard bodoh kesayangan dia tu”
Sudah aku jangka.
Soalan matematik kali ini mencabar. Namun aku mampu menjawabnya. Algebra
Expression, Graph, Probability, Coordination, Sets, Algorithm. Segala pujian
bagi Tuhan yang menciptakan otak sebernas otak aku. Bukan nak riak, tetapi aku
memanjatkan kesyukuran ke atasNya yang mengkurniakan kebijaksanaan kepada mamat
underdog macam aku. Kau rasa aku riak? Entah, suka hati kaulah. Kau baca sebab
kau yang berminat untuk membaca kisah kehidupan aku ini. Aku tak berniat untuk
membiarkan kau menilai aku. Siapa suruh kau baca? Sekarang hiduplah kau dengan
sikap judgemental kau tu. Gurau. Teruskan membaca.
Senyum sinis. Aku
keluar dari dewan dengan perasaan puas hati. Habis juga akhirnya. Buat hari
inilah. Aku terus sambar beg aku yang diletakkan di tepi dinding dan berjalan
pergi dari kawasan dewan. Tiba-tiba...
“Hilman!” aku
menoleh ke arah suara bengis tersebut.
Dush! Satu
tumbukan padu menghinggap ke tulang pipi. Babi! Sakit nak mampus! Terhuyung-hayang
aku dibuatnya. Aku gagah, kembali berdiri memandang lawanku. Karim rupanya. Aku
dah agak. Pasti Haliza mengadu pada Karim. Aku lihat Haliza sedang tersenyum
senget di koridor tepi dewan. Sofie sedang menjerit seperti orang gila. “Jangan
Karim! Jangan! Auww! Auww! Biarkan dia! Auww!” Terima kasih, tetapi aku tak
perlukan seorang bapuk untuk membantu aku.
“Apa kau nak,
sial!?” aku jerit ke arah Karim.
“Kau pukul
Halizalah, bongok! Aku nak kau sujud kat kaki dia pastu kau minta maaf kat
dia!”
“Buat apa aku
bersujud kat pelacur murahan yang kau cabul setiap hari? Bodoh!”
“Apa kau kata!?”
“Pelacur murahan!
Fuck you bitchy whore!” aku jerit sekuat hati sambil menuding jari ke arah
Haliza.
“Bapak kaki judi!
Keluarga sial! Mak peminta sedekah!” Haliza pula menyampuk. Aku berang tapi aku
tak bertindak. Aku bukan orang bodoh. Nanti aku pula yang kena. “Belasah dia
baby!” jerit dia lagi.
Karim menerpa ke
arahku dengan sekepal tumbukan. Aku juga berlari ke arahnya. Aku mengelak
tumbukannya lalu aku pula melancarkan tumbukan aku pada perut Karim. Tertunduk
Karim kesenakan. Serangan kedua, aku hayunkan siku tajam aku ke atas pangkal
tengkuknya. Tersembam dia ke tanah dan bergumpalan seperti tenggiling menahan
senak di perutnya. Para pelajar yang lain menyaksikan pergaduhan kami di
koridor. Semua kelihatan teruja seperti menonton filem India yang selalu
bergaduh dalam slow motion dan sering menghasilkan habuk dan debu apabila
lawannya jatuh ke tanah. Aku terasa popular.
“Hoi!” Sial.
Cikgu Din, dan Cikgu Syamil datang ke arah kami. Cikgu Din menyambar tanganku
tetapi dihentikan oleh Cikgu Syamil. “Tak apa. Biar aku uruskan Hilman,” kata
Cikgu Syamil. Cikgu Din menyerahkan aku kepada Cikgu Syamil. Cikgu Syamil
mendakap bahuku dengan lembut dan dia mengutip beg aku yang terjatuh di atas
tanah. Kami berdua berjalan hingga ke bilik kaunseling. Habislah. Aku kena
kaunseling.
Aku duduk di
sebelah Cikgu Syamil. Aku tersalah anggap. Aku ingatkan dia mahu memarahi aku.
Dia tidak marah pada aku walau sedikit pun. Malah dia menawarkan aku sebungkus
gula-gula Mentos kepada aku. Aku terima pemberian dia. “Selesa?” dia bertanya.
Aku hanya mengangguk. Aku hanya menunduk tak mampu untuk memandang wajahnya.
“Macam mana
dengan soalan math tadi?” tanya Cikgu Syamil.
“Senang
alhamdulillah”
“Awakkan bijak.
Memang semua senang. Nanti masuk U saya yakin awak boleh skor dengan cemerlang.
Subjek saya pun awak selalu dapat A. Kadang-kadang cikgu yang kena buka buku
selain buku teks untuk menanda kertas soalan awak,” dia memuji.
Aku terasa segan
sebentar. Aku tersenyum dan melihat wajahnya. Kali ini aku mempunyai keberanian
untuk melakukannya kerana ton suara Cikgu Syamil amat menyenangkan hati. “Cikgu
fikir saya boleh berjaya?”
“Ya! Sudah pasti.
Cikgu bukan takat rasa je. Cikgu yakin! Skor awak membanggakan!”
“Terima kasih
cikgu,” aku percaya pada Cikgu Syamil.
“Cuma saya
terkejut bila ada pelajar repot pasal awak dan Karim. Apa terjadi sebenarnya?”
“...” aku
terdiam, sedang memikirkan jawapan. “Saya tak suka ganggu hidup orang. Tapi
orang selalu ganggu hidup saya”
“Oh, awak tak
suka diganggu. Betul?”
Aku mengangguk
perlahan-lahan sambil menikmati sensasi gula-gula buah-buahan di dalam mulut
aku. “Biarkan saya bersendirian. Itu saja yang saya nak. Tapi kenapa perlu
kacau saya?”
Cikgu Syamil
mengangguk sambil mengiyakan segala pernyataan aku. Sepertinya dia sudah
memahami situasi hidupku. Ekspresi wajahnya sangat meyakinkan. “Haliza.
Girlfriend Karim tu datang pada saya pagi tadi. Dia suruh saya ajar dia. Saya
tak nak sebab saya tak selesa dengan dia. Tiba-tiba dia pegang tangan saya.
Saya pun tampar dia. Mungkin sebab tu dia pergi mengadu dekat Karim,” aku
bercerita.
“Puncanya Haliza
sebab dia memegang tangan awak dan awak tak suka dengan perbuatannya,” Cikgu
Syamil meringkaskan kata-kata aku.
“Saya hanya mahu
dibiarkan bersendirian. Susah ke permintaan saya ni cikgu?”
“Cikgu rasa tak
susah. Cuma awak kena bagitau kat dia orang kenapa awak suka bersendirian”
“Dia orang takkan
faham”
“Kenapa?”
“Biarkan”
Cikgu Syamil
menghela nafasnya dan menggosok-gosok belakang aku untuk menenangkan aku. Dia
bersuara lagi. “Awak ada sahabat?” Aku geleng kepala. Safwan? Diakan sahabat
aku? Cikgu Syamil tak perlu tahu tentang Safwan. “Saya rasa awak patut cari
sahabat”
Aku tak tahu
bagaimana caranya untuk mencari sahabat. Safwan yang datang dalam hidup aku.
Bukan aku yang mencarinya. “Saya perlukan orang yang memahami saya, yang saya
boleh percaya. Tapi tak pernah jumpa dengan orang yang macam tu”
“Cikgu boleh
dipercayai atau tak?”
“...” aku
mengangguk. Tapi takkanlah Cikgu Syamil mahu jadi sahabat aku. Dia mungkin 20
tahun lebih tua daripada aku. Boleh ke hubungan persahabatan dijalin dengan
orang yang lagi tua daripada aku? “Cikgu nak tanya sesuatu boleh tak?” Cikgu
Syamil bertanya. Aku malas nak respon jika orang tanya pada aku dengan soalan
yang begitu. Nak tanya, tanya sajalah. Tak perlu meminta izin. Kalau aku cakap
tak boleh macam mana? Takkan nak paksa aku untuk izinkan? Betul tak? Baiklah,
aku penuhi sahaja permintaannya. Aku mengangguk sekali lagi. Puas hati?
“Siapa Safwan?”
No comments:
Post a Comment