(5)
Dentuman kepala aku
disertai dengan jeritan Adibah yang histerikal. Darah bersemburan memercik pada
sesiapa yang dekat dengan aku dan ianya mula mengalir seperti air sirap yang
tertumpah di atas lantai. Sakitnya hanya Tuhan saja yang faham. Orang ramai
mula meriuhkan suasana. “Panggil ambulans! Panggil ambulans!” mereka
berteriakan. Ikmal datang mendekati tubuh aku yang kini kaku kesejukan. Dia
mengambil keputusan untuk memeriksa nadi aku. Masih berdenyut. Lemah. Harapan
untuk aku hidup kian malap, macam lampu suluh yang hampir kehabisan tenaga
bateri. Lip, lap, lip, lap.
Hangatnya darah aku.
Sudah mengalir ke dada aku. Kau pernah tak minum air Milo suam yang mak kau
buat sebelum kau pergi ke sekolah? Macam itulah suhunya. Hangat tapi tak panas
sangat.
Tubuh aku dibaringkan di
atas tanah. Ikmal khuatir kalau aku tak dapat bernafas semasa meniarap. Memang
betul pun. Dada aku terasa terhimpit. Mata aku berpinar-pinar. Pandangan aku
macam kamera fon Sony Xperia yang masih melaraskan titik fokusnya. Blur sangat.
Tapi aku boleh kenal para insan yang menatap wajah aku.
Kepala aku berada di
atas riba Ikmal. Dia memegang erat tangan aku sambil mengucup dahi aku sebagai
tanda semangat. Tangan dan suhu badan dia agak selesa. Tapi kesakitan aku yang
merajai badan aku. “Mengucap Hilman. Ikut aku. Asyhadu allailaha illallah”. Aku
tahu macam mana mahu bersyahadah. Kemungkinan aku sedang berada dalam kesakitan
yang ekstrim maka suara aku tidak mampu dilepaskan. Ataupun aku seorang pendosa
tegar sampai Allah tak nak aku bersyahadah?
Mulut aku terkumat-kamit
untuk mengucapkan syahadah. Hanya bibir yang bergerak. Ikmal mengangguk sebagai
motivasi kepada aku. Aku ternampak Adibah berdiri di belakang Qassim yang juga
sedang melutut di hadapan aku sambil memberi semangat kepada aku untuk terus
hidup. Muka Adibah nampak sayu, nampak keliru selepas apa yang terjadi pada
aku. Pipi dia dibasahi dengan air matanya yang jernih. Kenapa dia perlu
menangis tentang aku? Sedangkan sampai sekarang aku masih tak meluahkan
perasaan aku pada dia. Aku simpan perasaan aku. Sampai mati.
Safwan. Mana Safwan?
Biarkan dia. Mungkin
sudah mati. Itu yang aku harapkan. Agar dia tidak akan menyakiti orang lain
lagi. Tapi...
Boleh ke dia mati?
Maaf aku terpaksa bawa kau ke tempat realiti buat sementara waktu. Aku
sengaja nak kau tahu apa yang terjadi pada aku lepas aku terjun dari bangunan.
Nampak gayanya kau masih berminat untuk mengetahui kisah selanjutnya. Aku masih
tidak mati. Malah masih menceritakan kisah hidup aku dan Safwan kepada kau
sekarang. Apa yang kau baca selama ini adalah imbasan memori aku. Aku mahu kau
tahu bahawa tidak ada manusia yang sempurna. Aku juga ada cacat cela. Aku mahu
kau berfikir, aku mahu kau sedar. Setiap manusia yang hidup pasti akan mati
walaupun pangkatnya setinggi Obama, walaupun hartanya membukit seperti Oprah, walaupun tubuhnya sekering gelandangan. Bukti? Aku sudah tercungap-cungap menahan
kesakitan. Malaikat Maut sedang menarik nyawa aku. Sakit. Aku beritahu kau
sekarang. Maut amat menyakitkan.
No comments:
Post a Comment